Saya pernah diketawakan apabila memberitahu impian untuk menjadi jutawan Internet satu ketika dahulu. Saya jadikan itu sebagai satu cabaran dengan menceburi bisnes dalam talian secara sambilan pada tahun 2008. Saya bermula dengan menghasilkan e-book pertama. Selepas beberapa tahun, jatuh bangun dalam bidang strategi pemasaran dan penjenamaan akhirnya menampakkan hasil. Pada tahun 2011, saya mengambil keputusan untuk lebih serius dalam bidang strategi pemasaran dan penjenamaan dengan menjalankan kajian terperinci tentang strategi, teknik, penulisan dan banyak lagi. Saya fokus kepada Facebook Ads (FB Ads) sebagai medium pemasaran dalam talian (online marketing).
Kini, dengan lebih 10 tahun pengalaman, Sifubad Sdn Bhd telah membantu ramai usahawan dan pemilik perniagaan di seluruh Malaysia, termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia. Melalui penganjuran seminar, kelas dan konsultansi, ratusan ribu usahawan mahupun pemilik perniagaan telah saya bantu hingga berjaya mencapai jualan enam atau tujuh angka sebulan! Dalam perniagaan, kita tidak melihat siapa lebih lama atau lebih besar sebaliknya memandang mereka yang laju membina masa depan perniagaan.
Siapa yang laju, dia yang akan lebih maju dan siapa yang maju pasti ada hala tuju. Untuk kita laju dan maju ini, salah satunya mesti ke depan berbanding orang lain. Kena tingkatkan kepercayaan, prestij, imej dan perniagaan untuk orang terima kita. Salah satunya dengan pemilihan anugerah yang bersesuaian. Saya seorang yang sangat memilih dalam mana-mana anugerah yang ditawarkan. Bagi saya, Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) adalah kredibiliti dan autoriti yang dimiliki jenama BISA itu sendiri daripada Sinar Harian. Jika kita rasa sesuai, layak dan inilah masanya, ambillah peluang. Sebagai usahawan kita kena fikir anugerah memberi impak besar kepada kita.