Murtadha Dakwah Centre (MADAD) telah diasaskan oleh abang saya, Allahyarham Ustaz Murtadha Mohd Yusof. MADAD ditubuhkan pada Januari 2018 di Kampung Teluk, Sungai Petani Kedah. Abang saya meninggal dunia akibat kemalangan. MADAD yang dikenali sebagai Pusat Dakwah Darul Murtadha, ditubuhkan dengan matlamat untuk memberikan pendidikan secara percuma kepada golongan setempat. Pada peringkat awal penubuhan, MADAD memfokuskan kepada pusat dakwah dan pendidikan, kelas pengajian untuk warga emas dan kanak-kanak serta kelas remaja klinik al-Fatihah dan tahfiz.
Dari sinilah wujudnya sukarelawan Hang Cangkul, Hang Cuci, rumah kucing, akademi memanah dan penubuhan MADAD Care yang bertujuan untuk memberikan manfaat kepada masyarakat tanpa mengharapkan keuntungan. Disebabkan kekangan kos, Murtadha Centre menubuhkan satu syarikat sendirian berhad iaitu Murtadha International Sdn Bhd (MISD) dan di bawahnya terdapat 14 anak syarikat yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.
Bercakap tentang Sinar Harian, saya menyifatkan Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) sebagai anugerah yang menjadi pemangkin semangat saya untuk terus berjaya mengembangkan peranan MADAD. Anugerah adalah pengiktirafan dan yang menerima adalah satu tanggungjawab. Satu ujian juga apabila masyarakat akan melihat yang indah-indah melalui anugerah ini, tetapi mereka tidak tahu banyak ujian yang perlu kami hadapi. Saya melihat Sinar Harian sebagai platform terbaik untuk kami mempromosikan perniagaan kerana ia diyakini mampu sampai kepada golongan sasar.