Jangan sesekali cuba hadap semua masalah dalam satu masa, sebaliknya selesaikan dan laluinya satu demi satu. Itulah resipi dan cara kami mendepani susur galur masalah dalam syarikat. Sebenarnya, tidak mudah untuk membina keyakinan serta mengukuhkan jenama agar sebaris dengan syarikat gergasi terutama syarikat antarabangsa. Apatah lagi bagi syarikat yang baru bertapak seperti kami.
Apabila berjumpa dengan syarikatsyarikat telekomunikasi yang besar, mereka tidak kenal kami. Jadi, hendak yakinkan mereka tentang apa yang kami ada, itu satu cabaran yang sangat besar dan hebat yang perlu kami tempuhi. Ibaratnya, kami bertatih untuk menanam kepercayaan mereka terhadap perniagaan dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat kami, Pacton Technologies Sdn Bhd (Pacton Techologies). Pelbagai aspek kami perlu tekankan untuk salurkan perkhidmatan jaringan Internet yang pantas seiring dengan pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara.
Kami bermula pada tahun 2018 sebagai syarikat tempatan yang memfokuskan ke arah penghasilan rekaan produk modem dan router. Dengan kualiti dan prestasi trek rekod penjualan yang baik dalam bersaing dengan negara-negara luar, kami boleh berbangga dengan kemajuan yang dikecapi. Diam tak diam, kami kini telah mempunyai tiga cawangan syarikat di luar negara iaitu di Indonesia, Australia dan China. Kami akui, peluang untuk diiktiraf melalui Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) tidak boleh kami sia-siakan. Inilah masanya untuk dikenali dan mengetengahkan jenama perniagaan sama ada di pasaran perniagaan atau pun di mata orang awam. Inisiatif Sinar Harian ini memang kena pada masa kerana syarikat memerlukan platform yang meyakinkan untuk mendapatkan pendedahan kepada dunia luar.