Saya mungkin lebih dikenali kerana kerjaya lakonan tetapi ramai yang tidak tahu, sumber pendapatan utama saya sebenarnya adalah perniagaan. Saya amat sibuk dengan dunia perniagaan saya. Memang tidak dinafikan lakonan telah melonjakkan nama dan populariti saya sebagai Che Ta, sekali gus membantu meningkatkan perniagaan yang saya jalankan. Namun, berniaga sebenarnya lebih membuatkan saya puas hati apabila penat lelah berhasil.
Matlamat dalam perniagaan bukan sedikit, malah saya meletakkan visi untuk menjadi pengeluar produk kecantikan dan kesihatan wanita paling besar di Malaysia. Kami menjalankan sebanyak empat jenis perniagaan iaitu syarikat produksi, bidang fesyen menerusi jenama Padusi, minyak wangi (Precious dan Gorgeous) dan terkini, produk kecantikan dan kesihatan di bawah label BYRCW. Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki, malah Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) adalah permulaan yang sangat baik untuk saya bagi tahun 2023 ini.
Ia sekali gus satu penghargaan yang menjadikan saya dan warga BYRCW akan bekerja keras dan lebih tekun lagi. Secara peribadi saya harapkan kerja keras selama ini menjadi pemangkin untuk mereka di luar sana yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Usaha murni Sinar Harian ini diharap berterusan untuk diraih oleh golongan usahawan yang lain. Bayangkan, setelah hampir 3 tahun ekonomi negara sepi dengan bencana Covid-19, BISA secara tidak langsung menyuntik semangat tahun baharu pemain industri. Saya harap akan lebih ramai lagi golongan pemain industri khususnya PKS menjadikan BISA peluang untuk mereka maju lebih jauh hingga ke peringkat global.