Segalanya bermula daripada ayah. Dahulu ayah saya bekerja sebagai Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Ketika itu ayah sedang bermain takraw dan seluar dipakai oleh ayah mendapat perhatian daripada rakan-rakannya dan tertarik untuk membeli. Dari situlah ayah mula mengambil tempahan, dia gunakan duit gajinya untuk membeli stok pakaian sukan daripada pembekal dan kemudian menjualnya secara kecil-kecilan sehinggalah dapat memasarkannya di kedai runcit dan pasar raya.
Ayah saya, Datuk Che Umar Yatim memulakan perniagaan menjual pakaian pada tahun 1982 di Kuala Kangsar, Perak dengan modal yang sangat kecil. Kini, saya mewarisi perniagaan itu yang telah pun mempunyai 64 cawangan Pasaraya Borong Sakan di seluruh negara. Konsep perniagaan kami bersifat musim dan sekiranya sudah sampai musim, kami bersedia dengan jenama barangan yang dikeluarkan. Selain pakaian, kami turut menawarkan pilihan minyak wangi dan tudung mengikut trend semasa, malah sentiasa memperbaharui setiap barangan untuk memenuhi permintaan pasaran.
Sasaran kami lebih jauh dan besar selepas ini. Justeru, Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) adalah platform terbaik untuk kami memperkenalkan jenama dengan harga murah kepada golongan sasaran. Kami mahu memperkasakan tagline Ingat Murah, Ingat Sakan yang mampu dibeli oleh semua golongan terutama B40. Pastinya, anugerah BISA ini bakal menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada kami dan usahawan lain untuk bergerak laju ke hadapan dan berusaha meningkatkan kemajuan dalam perniagaan.