Home Blog

Berbaloi penat lelah urus perniagaan

0

Saya mungkin lebih dikenali kerana kerjaya lakonan tetapi ramai yang tidak tahu, sumber pendapatan utama saya sebenarnya adalah perniagaan. Saya amat sibuk dengan dunia perniagaan saya. Memang tidak dinafikan lakonan telah melonjakkan nama dan populariti saya sebagai Che Ta, sekali gus membantu meningkatkan perniagaan yang saya jalankan. Namun, berniaga sebenarnya lebih membuatkan saya puas hati apabila penat lelah berhasil.

Matlamat dalam perniagaan bukan sedikit, malah saya meletakkan visi untuk menjadi pengeluar produk kecantikan dan kesihatan wanita paling besar di Malaysia. Kami menjalankan sebanyak empat jenis perniagaan iaitu syarikat produksi, bidang fesyen menerusi jenama Padusi, minyak wangi (Precious dan Gorgeous) dan terkini, produk kecantikan dan kesihatan di bawah label BYRCW. Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki, malah Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) adalah permulaan yang sangat baik untuk saya bagi tahun 2023 ini.

Ia sekali gus satu penghargaan yang menjadikan saya dan warga BYRCW akan bekerja keras dan lebih tekun lagi. Secara peribadi saya harapkan kerja keras selama ini menjadi pemangkin untuk mereka di luar sana yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Usaha murni Sinar Harian ini diharap berterusan untuk diraih oleh golongan usahawan yang lain. Bayangkan, setelah hampir 3 tahun ekonomi negara sepi dengan bencana Covid-19, BISA secara tidak langsung menyuntik semangat tahun baharu pemain industri. Saya harap akan lebih ramai lagi golongan pemain industri khususnya PKS menjadikan BISA peluang untuk mereka maju lebih jauh hingga ke peringkat global.

Gelaran ‘abang long kawasan’ di Selangor

0

Kami bukan gengster tetapi abang long kawasan yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan pengurusan sampah di negeri Selangor. Bukan mudah untuk memastikan kawasan jajahan yang dipertanggungjawabkan sentiasa berada dalam keadaan bersih, apatah lagi Selangor sebagai negeri yang padat menghasilkan sampah paling banyak berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Bercakap soal tanggungjawab, sebenarnya jatuh bangun syarikat ini bergantung sepenuhnya kepada semua kakitangan melibatkan hampir 11, 000 pekerja yang memberi komitmen tinggi bagi memastikan syarikat kekal sehingga kini. Yang penting kami dapat berikan perkhidmatan sama tahap dengan kawasan syarikat-syarikat konsesi lain bak kata pepatah Inggeris its value for money. Cabaran lain, sudah tentulah industri ini memerlukan pekerja yang ramai. Pekerja dengan perintah gaji minimum RM1,500 sebulan, sentiasa kami hargai dan menjaga kebajikan mereka.

Tidak mudah mendapat pekerja yang setia dan sanggup bekerja dalam persekitaran unik ini. Tidak ramai yang mahu turun ke dalam longkang, masuk ke dalam kolong, bekerja 365 hari untuk ikut lori mengangkut sampah, keluar pagi balik petang dan bekerja 12 jam sehari. Penghargaan kepada pekerja ini dapat dizahirkan melalui penganugerahan Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang diperkenalkan oleh Sinar Harian. Selain anugerah ini mengiktiraf dan menghargai usahawan tempatan tetapi ia secara tidak langsung memberi impak positif kepada syarikat dan pemain industri seluruhnya. Kami berjanji akan terus komited dalam memastikan Selangor berjaya mencapai status negeri terbersih dan usaha itu akan terus menjadi agenda utama syarikat kami bagi menempuhi cabaran pada masa depan.

Bawa semangat legasi perniagaan ayah

0

Segalanya bermula daripada ayah. Dahulu ayah saya bekerja sebagai Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Ketika itu ayah sedang bermain takraw dan seluar dipakai oleh ayah mendapat perhatian daripada rakan-rakannya dan tertarik untuk membeli. Dari situlah ayah mula mengambil tempahan, dia gunakan duit gajinya untuk membeli stok pakaian sukan daripada pembekal dan kemudian menjualnya secara kecil-kecilan sehinggalah dapat memasarkannya di kedai runcit dan pasar raya.

Ayah saya, Datuk Che Umar Yatim memulakan perniagaan menjual pakaian pada tahun 1982 di Kuala Kangsar, Perak dengan modal yang sangat kecil. Kini, saya mewarisi perniagaan itu yang telah pun mempunyai 64 cawangan Pasaraya Borong Sakan di seluruh negara. Konsep perniagaan kami bersifat musim dan sekiranya sudah sampai musim, kami bersedia dengan jenama barangan yang dikeluarkan. Selain pakaian, kami turut menawarkan pilihan minyak wangi dan tudung mengikut trend semasa, malah sentiasa memperbaharui setiap barangan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Sasaran kami lebih jauh dan besar selepas ini. Justeru, Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) adalah platform terbaik untuk kami memperkenalkan jenama dengan harga murah kepada golongan sasaran. Kami mahu memperkasakan tagline Ingat Murah, Ingat Sakan yang mampu dibeli oleh semua golongan terutama B40. Pastinya, anugerah BISA ini bakal menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada kami dan usahawan lain untuk bergerak laju ke hadapan dan berusaha meningkatkan kemajuan dalam perniagaan.

Kami mahu sentiasa dekat dengan pengguna

0

Sejak awal penubuhan redONE, matlamat kami adalah untuk membantu pengguna menikmati pelan terbaik tanpa perlu berbelanja lebih. Kami mahu menawarkan pakej panggilan suara dan data pada harga paling berpatutan dan sesuai dengan situasi ekonomi yang mencabar pada ketika itu. Pada 2012, redONE ditubuhkan sebagai Operator Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) pertama di Malaysia menyediakan perkhidmatan pasca bayar dengan pelan bermula dari harga serendah RM8 sebulan dengan menggunakan infrastruktur 4G LTE terluas pada harga mesra bajet.

Pada ketika itu, telah wujud permintaan untuk pengendali telekomunikasi menyediakan pelan lebih jimat ekoran situasi ekonomi yang mencabar, di samping rata-rata masyarakat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup. Apa yang membezakan kami dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain adalah pengguna yang disenaraihitam juga diterima. Itulah keistimewaan kami yang dekat dengan pengguna. Terima kasih Sinar Harian kerana telah memudahkan jenama kami menyampaikan maklumat perkhidmatan pasca bayar mudah alih kepada pengguna di Malaysia.

Melalui media ini telah mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai terhadap perkhidmatan yang kami sediakan. Selain Malaysia, redONE turut beroperasi di Singapura dan Thailand serta merancang dan bercita-cita tinggi untuk berkembang ke bahagian lain di ASEAN dalam tempoh terdekat. Kami memenangi pelbagai anugerah untuk amalan dan nilai, tentu sekali Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) menjadi satu pengiktirafan dan membuktikan perkhidmatan kami dipercayai bukan sahaja kepada pengguna berpendapatan rendah malah golongan usahawan juga. redONE mempunyai sejumlah rakan jualan yang menjadi tulang belakang kepada perkembangan perniagaan redONE. Saban tahun redONE telah memberikan pelbagai inisiatif kepada rakan jualannya untuk memupuk semangat keusahawanan dan menjadi pendorong kepada mereka terus berusaha bersama-sama meningkatkan jualan redONE.

Bukan mudah bina keyakinan di mata orang lain

0

Jangan sesekali cuba hadap semua masalah dalam satu masa, sebaliknya selesaikan dan laluinya satu demi satu. Itulah resipi dan cara kami mendepani susur galur masalah dalam syarikat. Sebenarnya, tidak mudah untuk membina keyakinan serta mengukuhkan jenama agar sebaris dengan syarikat gergasi terutama syarikat antarabangsa. Apatah lagi bagi syarikat yang baru bertapak seperti kami.

Apabila berjumpa dengan syarikatsyarikat telekomunikasi yang besar, mereka tidak kenal kami. Jadi, hendak yakinkan mereka tentang apa yang kami ada, itu satu cabaran yang sangat besar dan hebat yang perlu kami tempuhi. Ibaratnya, kami bertatih untuk menanam kepercayaan mereka terhadap perniagaan dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat kami, Pacton Technologies Sdn Bhd (Pacton Techologies). Pelbagai aspek kami perlu tekankan untuk salurkan perkhidmatan jaringan Internet yang pantas seiring dengan pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara.

Kami bermula pada tahun 2018 sebagai syarikat tempatan yang memfokuskan ke arah penghasilan rekaan produk modem dan router. Dengan kualiti dan prestasi trek rekod penjualan yang baik dalam bersaing dengan negara-negara luar, kami boleh berbangga dengan kemajuan yang dikecapi. Diam tak diam, kami kini telah mempunyai tiga cawangan syarikat di luar negara iaitu di Indonesia, Australia dan China. Kami akui, peluang untuk diiktiraf melalui Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) tidak boleh kami sia-siakan. Inilah masanya untuk dikenali dan mengetengahkan jenama perniagaan sama ada di pasaran perniagaan atau pun di mata orang awam. Inisiatif Sinar Harian ini memang kena pada masa kerana syarikat memerlukan platform yang meyakinkan untuk mendapatkan pendedahan kepada dunia luar.

Imej koperasi kini lebih terserlah

0

Banyak yang telah berjaya kami kecapi terutamanya dalam meningkatkan imej dan kesedaran orang ramai terhadap koperasi. Diam tak diam, sektor koperasi terus berkembang sejak ia mula bertapak di Malaysia pada tahun 1922. Peranan Angkasa sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang mewakili koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa semakin terserlah. Medialah puncanya! Saya akui, media telah membantu meningkatkan imej koperasi serta memberi kesedaran betapa pentingnya penglibatan Angkasa dalam memartabatkan gerakan koperasi serta memenuhi keperluan anggota dan rakyat.

Kami bukan sahaja agensi yang menjaga koperasi dan anggotanya malah menjadi orang tengah dan suara gerakan koperasi untuk memperjuangkan isu berbangkit kepada kerajaan, pihak berkepentingan dan menjadi wakil negara di peringkat global. Sejujurnya, kami tidak cukup masa untuk turun padang berjumpa setiap anggota dan menjelaskan setiap produk atau aktiviti yang dijalankan Namun, Sinar Harian telah mainkan peranannya sekali gus menjadi medium menyampaikan cerita dan mesej Angkasa dalam membawa suara lebih 15,000 buah koperasi dengan 7.04 juta keanggotaan di Malaysia.

Bagi saya, pengiktirafan melalui Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) ini membuktikan peranan dan sumbangan Angkasa dalam pembangunan koperasi dan ekonomi negara. Sekurang-kurangnya usaha Angkasa diiktiraf dalam industri keusahawanan. Ini juga menjadi pembakar semangat untuk warga Angkasa meningkatkan aktiviti keusahawanan. Kini Angkasa bukan hanya pada nama, tetapi kami telah berjaya membawa gerakan koperasi yang mewakili lebih 20 peratus rakyat Malaysia mendapat perhatian serta bimbingan daripada pihak kerajaan. Ini satu kejayaan! Matlamat saya untuk menjadikan Angkasa sebagai medan suara koperasi bukan sahaja di peringkat nasional tetapi sampai ke tahap global.

Permulaan kami dari satu pintu ke pintu…

0

Segalanya bermula ketika merantau ke Timur Tengah untuk menimba ilmu. Pengalaman menjalani kehidupan sebagai pelajar di Mesir membuatkan saya tertarik dengan budaya amalan pemakanan buah zaitun dan diet pemakanan masyarakat di sana yang dikenali sebagai diet Mediterranean. Sejak itu, saya bertekad untuk membawa produk pati minyak zaitun yang tinggi khasiatnya pulang ke Malaysia bagi berkongsi manfaatnya kepada semua. Pada asalnya kami bermula hanya dengan jualan produk minyak zaitun secara kecil-kecilan, dari satu pintu rumah ke satu pintu rumah lain.

Tetapi kini melalui jenama induk baharu Aafiyat, ia telah membawa makna yang menunjukkan bahawa kami sudah mencapai satu titik kejayaan baharu dalam perniagaan. Jenama Aafiyat adalah lambang kepada kumpulan usahawan dinamik yang berusaha untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat melalui gaya hidup holistik berdasarkan nilai dari al-Quran dan dijelaskan oleh sains. Kami memainkan peranan sebagai warga korporat yang prihatin dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Olive House sentiasa komited untuk memenuhi aspirasi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami dengan menyumbang kepada pelbagai pihak yang memerlukan.

Kita sedia maklum, dunia berubah dengan begitu cepat. Kita kena pantas dan perlu kekal bermotivasi untuk berada di hadapan. Jadi, saya mengambil kesempatan di atas platform yang disediakan oleh Sinar Harian kerana ini merupakan pintu kepada dunia yang lebih besar. Ada kalanya kita menyediakan produk dan perkhidmatan yang bagus tetapi tidak diketahui oleh masyarakat. Kami berusaha mengembangkan perniagaan di pasaran Indonesia, Singapura dan Thailand. Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) akan menjadi satu titik tolak positif dan diyakini mampu memberikan impak yang lebih positif kepada kami warga Aafiyat Group.

Niat beri pendidikan percuma kepada masyarakat

0

Murtadha Dakwah Centre (MADAD) telah diasaskan oleh abang saya, Allahyarham Ustaz Murtadha Mohd Yusof. MADAD ditubuhkan pada Januari 2018 di Kampung Teluk, Sungai Petani Kedah. Abang saya meninggal dunia akibat kemalangan. MADAD yang dikenali sebagai Pusat Dakwah Darul Murtadha, ditubuhkan dengan matlamat untuk memberikan pendidikan secara percuma kepada golongan setempat. Pada peringkat awal penubuhan, MADAD memfokuskan kepada pusat dakwah dan pendidikan, kelas pengajian untuk warga emas dan kanak-kanak serta kelas remaja klinik al-Fatihah dan tahfiz.

Dari sinilah wujudnya sukarelawan Hang Cangkul, Hang Cuci, rumah kucing, akademi memanah dan penubuhan MADAD Care yang bertujuan untuk memberikan manfaat kepada masyarakat tanpa mengharapkan keuntungan. Disebabkan kekangan kos, Murtadha Centre menubuhkan satu syarikat sendirian berhad iaitu Murtadha International Sdn Bhd (MISD) dan di bawahnya terdapat 14 anak syarikat yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

Bercakap tentang Sinar Harian, saya menyifatkan Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) sebagai anugerah yang menjadi pemangkin semangat saya untuk terus berjaya mengembangkan peranan MADAD. Anugerah adalah pengiktirafan dan yang menerima adalah satu tanggungjawab. Satu ujian juga apabila masyarakat akan melihat yang indah-indah melalui anugerah ini, tetapi mereka tidak tahu banyak ujian yang perlu kami hadapi. Saya melihat Sinar Harian sebagai platform terbaik untuk kami mempromosikan perniagaan kerana ia diyakini mampu sampai kepada golongan sasar.

Musibah penguat semangat untuk bangkit semula

0

Membangunkan perusahaan tidak akan terlepas daripada cabaran dan dugaan. Kami pernah ditimpa musibah apabila kebakaran besar berlaku pada 1990 yang memusnahkan aset syarikat dan rumah yang kami diami. Dengan segala keringat dan susah payah, kami bangkit semula dan melonjak lebih tinggi lagi hingga terbinanya kilang pertama kami di kawasan Kediaman Perindustrian Cibodas, Tangerang di Indonesia. Perjalanan diteruskan apabila pada 1995 kami melihat peluang untuk menyokong keperluan wanita terhadap produk kosmetik halal dan selamat lebih cerah.

Dari sinilah tercetusnya jenama Wardah yang kini telah berkembang baik di Malaysia. Sebenarnya, ibu dan ayah saya adalah tulang belakang utama tertubuhnya syarikat kami pada 28 Februari 1985, sementara saya kini meneruskan legasi mereka. Bermula dengan perniagaan dari rumah, ibu saya Nurhayati Subakat memanfaatkan kepakaran dan pengalamannya sebagai ahli farmasi dengan menghasilkan jenama penjagaan rambut sendiri yang diberi nama Putri iaitu jenama pilihan salun. Di Indonesia, orang ramai melahirkan rasa bimbang apakah kosmetik yang digunakan halal dan boleh dibawa solat. Maka terhasillah produk jenama kosmetik yang halal dan bersih untuk pengguna beragama Islam.

Alhamdulillah, prestasi yang memberangsangkan di Malaysia ini memberi peluang kepada kami untuk mengukuhkan lagi jenama menerusi Bisnes Sinar Harian Awards (BISA). Anugerah ini secara tidak langsung seiring dengan misi utama syarikat untuk merevolusikan dan meningkatkan keberadaan produk kecantikan yang halal untuk dimanfaatkan oleh pengguna di pelosok dunia. Kami juga amat berterima kasih kepada pengguna-pengguna di Malaysia kerana andalah kami mampu melebarkan sayap perniagaan dan berdiri megah di sini.

Pernah ditertawakan gara-gara ingin jadi jutawan

0

Saya pernah diketawakan apabila memberitahu impian untuk menjadi jutawan Internet satu ketika dahulu. Saya jadikan itu sebagai satu cabaran dengan menceburi bisnes dalam talian secara sambilan pada tahun 2008. Saya bermula dengan menghasilkan e-book pertama. Selepas beberapa tahun, jatuh bangun dalam bidang strategi pemasaran dan penjenamaan akhirnya menampakkan hasil. Pada tahun 2011, saya mengambil keputusan untuk lebih serius dalam bidang strategi pemasaran dan penjenamaan dengan menjalankan kajian terperinci tentang strategi, teknik, penulisan dan banyak lagi. Saya fokus kepada Facebook Ads (FB Ads) sebagai medium pemasaran dalam talian (online marketing).

Kini, dengan lebih 10 tahun pengalaman, Sifubad Sdn Bhd telah membantu ramai usahawan dan pemilik perniagaan di seluruh Malaysia, termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia. Melalui penganjuran seminar, kelas dan konsultansi, ratusan ribu usahawan mahupun pemilik perniagaan telah saya bantu hingga berjaya mencapai jualan enam atau tujuh angka sebulan! Dalam perniagaan, kita tidak melihat siapa lebih lama atau lebih besar sebaliknya memandang mereka yang laju membina masa depan perniagaan.

Siapa yang laju, dia yang akan lebih maju dan siapa yang maju pasti ada hala tuju. Untuk kita laju dan maju ini, salah satunya mesti ke depan berbanding orang lain. Kena tingkatkan kepercayaan, prestij, imej dan perniagaan untuk orang terima kita. Salah satunya dengan pemilihan anugerah yang bersesuaian. Saya seorang yang sangat memilih dalam mana-mana anugerah yang ditawarkan. Bagi saya, Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) adalah kredibiliti dan autoriti yang dimiliki jenama BISA itu sendiri daripada Sinar Harian. Jika kita rasa sesuai, layak dan inilah masanya, ambillah peluang. Sebagai usahawan kita kena fikir anugerah memberi impak besar kepada kita.