Segalanya bermula ketika merantau ke Timur Tengah untuk menimba ilmu. Pengalaman menjalani kehidupan sebagai pelajar di Mesir membuatkan saya tertarik dengan budaya amalan pemakanan buah zaitun dan diet pemakanan masyarakat di sana yang dikenali sebagai diet Mediterranean. Sejak itu, saya bertekad untuk membawa produk pati minyak zaitun yang tinggi khasiatnya pulang ke Malaysia bagi berkongsi manfaatnya kepada semua. Pada asalnya kami bermula hanya dengan jualan produk minyak zaitun secara kecil-kecilan, dari satu pintu rumah ke satu pintu rumah lain.
Tetapi kini melalui jenama induk baharu Aafiyat, ia telah membawa makna yang menunjukkan bahawa kami sudah mencapai satu titik kejayaan baharu dalam perniagaan. Jenama Aafiyat adalah lambang kepada kumpulan usahawan dinamik yang berusaha untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat melalui gaya hidup holistik berdasarkan nilai dari al-Quran dan dijelaskan oleh sains. Kami memainkan peranan sebagai warga korporat yang prihatin dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Olive House sentiasa komited untuk memenuhi aspirasi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami dengan menyumbang kepada pelbagai pihak yang memerlukan.
Kita sedia maklum, dunia berubah dengan begitu cepat. Kita kena pantas dan perlu kekal bermotivasi untuk berada di hadapan. Jadi, saya mengambil kesempatan di atas platform yang disediakan oleh Sinar Harian kerana ini merupakan pintu kepada dunia yang lebih besar. Ada kalanya kita menyediakan produk dan perkhidmatan yang bagus tetapi tidak diketahui oleh masyarakat. Kami berusaha mengembangkan perniagaan di pasaran Indonesia, Singapura dan Thailand. Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) akan menjadi satu titik tolak positif dan diyakini mampu memberikan impak yang lebih positif kepada kami warga Aafiyat Group.